Proses peremajaan yang diharapkan dalam UMNO adalah suntikan semangat golongan muda yang dapat membawa pembaharuan dari segi strategi, ideologi serta pendekatan sekali gus memenuhi aspek persekitaran semasa generasi masa kini.
Peremajaan parti bukan bermaksud penyisihan golongan lama semata-mata sebaliknya paduan bersama golongan lama yang berpengalaman dan golongan muda untuk memperkasakan lagi UMNO di peringkat nasional dan mempopularkan parti di peringkat akar umbi.
Pensyarah Geo-Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berkata, UMNO perlu sentiasa melahirkan pemimpin-pemimpin berwibawa, kreatif dan inovatif untuk memastikan perjuangan parti sentiasa relevan.
??Kalau katakan peremajaan parti itu menggantikan orang-orang lama sahaja, itu tidak tepat, peremajaan ini bermaksud ideologi, strategi, pendekatan dan pengisian UMNO mesti diperkemas dengan input-input baharu agar parti menjadi muda semula dan segar untuk memenuhi tuntutan semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau memberitahu, daripada kajiannya dalam pilihan raya umum yang lepas, golongan muda sememangnya berharap adanya pembaharuan dengan lebih banyak pemimpin mewakili generasi muda, berjuang membawa aspirasi orang muda dan berani memperjuangkan hak-hak Melayu.
??Dalam proses peremajaan, UMNO kena bijak mengambil hati orang muda, UMNO perlu memberi ruang sepenuhnya kepada mereka di peringkat akar umbi membuat pandangan dan terlibat sama dalam proses membuat keputusan, UMNO kena tahu apa kehendak anak muda,” katanya.
Menurut Mohd. Fuad, proses pemilihan parti kali ini menunjukkan keterbukaan parti kepada penyertaan pemimpin-pemimpin muda dan beliau yakin proses transisi kepimpinan itu dapat dijalankan dengan demokratik.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad berkata, istilah meremajakan UMNO perlu disinonimkan dengan konsep keterbukaan dalam parti dengan menyediakan laluan lebih mudah kepada golongan muda berada dalam kepimpinan tertinggi.
Namun, katanya, perkara tersebut seolah-olah tidak diamalkan dalam UMNO apabila budaya cantas-mencantas turut berlaku dalam parti keramat itu.
Jelas beliau, beberapa perkara dalam perlembagaan parti juga perlu diperuntukkan kepada keistimewaan golongan muda sekali gus mampu menjadi daya penarik kepada golongan tersebut untuk menyertai parti itu.
??Memberi peluang kepada pemimpin muda dalam UMNO tidak bererti menarik lebih ramai golongan itu memimpin parti kerana kita bimbang mereka yang tidak layak pun dipilih hanya mahu mengejar pangkat dan kuasa, bukan betul-betul mahu berjuang atas nama Melayu dan Islam.
??Cuma, kombinasi pemimpin lama dan baharu perlu seimbang tanpa ada budaya cantas-mencantas walaupun kita sedar budaya tersebut turut wujud dalam parti-parti lain yang diistilahkan sebagai permainan politik,” katanya
http://www.um.edu.my/mainpage.php?module=News&show=1&id=485