Pesta Kerjaya Universiti Malaya (UM) 2016 yang bermula pada 6 – 7 April di Dewan Tunku Canselor, UM menarik minat 57 syarikat dan industri dari pelbagai sektor untuk mendapatkan tenaga kerja profesional di kalangan graduan dan bakal graduan UM.
Pesta ini merupakan platform yang disediakan oleh Seksyen Kaunseling & Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni untuk pelajar khususnya pelajar tahun akhir mencari peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang pengajian mereka dan mendapatkan maklumat mengenai kriteria yang diperlukan oleh syarikat/industri bagi sesuatu pekerjaan.
Pada tahun ini penaja platinum Pesta Kerjaya UM adalah Hartalega NGC, manakala Mahsing Group dan Maybank merupakan penaja emas. Antara syarikat/industri ternama lain yang turut serta adalah Genting Malaysia Berhad; Gamuda Sdn Bhd, Public Bank; Huawei Technologies (M) Sdn Bhd; HP Malaysia; Price Waterhouse Cooper (PWC); dan Ernst & Young.
Melalui Pesta Kerjaya, pelajar UM berpeluang berinteraksi secara terus dengan pihak syarikat/industri dan mendedahkan mereka kepada latar belakang syarikat/industri yang berpontensi sebagai majikan serta informasi terkini berkenaan dunia pekerjaan. Peluang temuduga turut disediakan oleh syarikat/industri yang mempunyai jawatan kosong.
Profesor Datuk Dr. Rohana Yusof, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), UM meluangkan masa membuat kunjungan hormat ke gerai-gerai pameran kerjaya pada hari pertama.
Selain pameran kerjaya yang menjadi kemuncak Pesta Kerjaya UM 2016, pelajar-pelajar UM terlebih dahulu didedahkan dengan seminar kerjaya yang memberi maklumat berkenaan perancangan dan pemilihan kerjaya, kemahiran individu seperti komunikasi dan pembangunan professional dan lain-lain lagi oleh penaja utama pesta ini.